• Che Yazid (kiri) ketika memeriksa untuk mengenal pasti kerosakan pada bas sambil diperhatikan seorang penduduk, Ibrahim Md Derus, 40, yang menyaksikan kejadian itu.Che Yazid (kiri) ketika memeriksa untuk mengenal pasti kerosakan pada bas sambil diperhatikan seorang penduduk, Ibrahim Md Derus, 40, yang menyaksikan kejadian itu.
 1 / 1 
ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal cedera parah, manakala seorang pemandu bas patah kaki dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Ayer Hitam, Lendu, di sini, semalam.

Mohamad Adam Alias, 23, cedera di bahagian tangan, kaki dan peha kanan serta muka selepas motosikal ditunggangi melanggar sebuah lori yang terdahulu dilanggar sebuah bas ekspres dari arah bertentangan, dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, kejadian berlaku selepas bas ekspres dipandu Norazam Mohd Saleh, 40, melanggar belakang kiri lori dinaiki dua lelaki.

“Sebelum kejadian, bas ekspres tanpa penumpang itu datang dari arah Lendu menghala Masjid Tanah melanggar belakang kiri lori yang sedang berhenti untuk membelok ke kanan masuk ke Pejabat Timbang Sawit.

“Akibat pelanggaran itu, lori dipandu C Tangaiah, 32, dipercayai berlanggar dengan motosikal ditunggang sendirian Mohamad Adam dari arah bertentangan,” katanya.

Menurut Abd Rahman, kejadian itu turut mengakibatkan bas itu terbabas ke kiri jalan, lalu melanggar tiang sebelum hampir terjunam ke tebing bukit bersemak.

“Bas itu juga menyebabkan lori tiga tan itu berpusing sebelum melintang di laluan sama,” katanya.

Menurutnya, Mohamad Adam, juga seorang pekerja kilang dihantar ke Hospital Alor Gajah, sementara Norazam dibawa ke Hospital Melaka.

“Bagaimanapun, pemandu lori dan kelindan berusia 20an itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang disiasat di bawah Seksyen 43(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Mara Liner Melaka, Che Yazid Che Man berkata, pemandu bas berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di Masjid Tanah sebelum meneruskan perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

“Norazam yang bekerja selama tiga hingga empat tahun memandu dari depoh di Kawasan Perindustrian Kelemak kira-kira 8.15 pagi untuk mengambil penumpang di Masjid Tanah bagi trip ke TBS pada jam 8.30 pagi," katanya.

Lapor : Sinar Harian