Polis Tatu Dahi Pesalah Di Hukum Penjara
https://infojenayah.blogspot.com/2016/10/polis-tatu-dahi-pesalah-di-hukum-penjara.html
Selepas 23 tahun kes empat wanita dicacah tatu `penyeluk saku’ di dahi oleh tiga anggota polis, akhirnya mahkamah di Patiala, Punjab menjatuhkan hukuman terhadap anggota polis terbabit dalam kes yang mencetuskan kontroversi itu.
Anggota polis terbabit, Supritendan Sukhdev Singh Chinna dan sub Inspektor Narinder Singh Malli dihukum penjara tiga tahun manakala Kanwaljit Singh dipenjara setahun.
Kes berkenaan menjadi kontroversi pada Disember 1993 selepas anggota polis terbabit mencacah tatu tersebut terhadap empat wanita kerana menyeluk saku dan mencuri dompet.
Wanita terbabit, Nirmala, Jeeto dan Nooran ditangkap polis di kuil Emas di Amritsar manakala seorang lagi tidak didedahkan identiti.
Pada mulanya mereka dihadapkan di mahkamah atas kes menyeluk saku dan keempat-empat mereka ketika itu menutup dahi dengan tudung sari, bagi melindungi tatu terbabit.
Namun semuanya terbongkar apabila salah seorang daripada mereka menunjukkan tatu terbabit di dalam mahkamah.
Ia menyebabkan Suruhanjaya Hak Asasi Kebangsaan (NHRC) membantu mangsa memfailkan writ petisyen di mahkamah tinggi Punjab dan Haryana pada 1994 menggesa kerajaan dan anggota polis terbabit mengatur pembedahan plastik untuk membuang tatu tersebut selain memberikan pampasan di atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
NHRC turut menyerahkan afidavit menuntut siasatan dijalankan terhadap anggota polis tersebut. Selepas mahkamah mendengar permohonan petisyan itu, mahkamah mengarahkan siasatan dijalankan Biro Penyiasatan India (CBI) dan turut mengarahkan kerajaan Punjab mengatur pembedahan plastik.
Pampasan sebanyak Rs 50,000 turut diarahkan dibayar kepada setiap mangsa.