Langar Rakan Sekerja, 2 Anggota Polis Maut
https://infojenayah.blogspot.com/2015/01/langar-rakan-sekerja-2-anggota-polis.html
Dua anggota polis maut dalam satu kemalangan di kilometer 6, Jalan Pekan-Kuantan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Koperal Helmee Akhsan Yahya, 29, yang menunggang motosikal polis trafik jenis Honda ST 1300, gagal mengelak, sebelum merempuh Koperal Amran Abdullah, 48, yang sedang melintas jalan berdekatan Kolej Automotif Antarabangsa Malaysia (ICAM).
Koperal Helmee yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan, meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Pekan, akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala Koperal Amran menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital sama, kira-kira jam 4 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Yahaya Othman berkata, kejadian itu dipercayai berlaku, selepas motosikal yang ditunggang Koperal Helmee terbabas ke pembahagi jalan, sebelum melanggar pasu hiasan di tempat kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian, Koperal Helmee dipercayai dalam perjalanan pulang menghala ke Ubai, selepas selesai membuat rondaan, sementara Koperal Amran sedang melintas jalan.
“Kami masih menjalankan siasatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, bahu jalan tidak berturap dan permukaan jalan tidak rata,” katanya.
Beliau berkata, jenazah Koperal Helmee akan dikebumikan di Kampung Mangkok, Setiu, Terengganu.
Sementara jenazah Koperal Amran akan dikebumikan di Kampung Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) AKta Pengangkutan Jalan 1987.